Friday, June 11, 2010

TAHAJJUD DAN QIAMULLAI PADA ALLAH SWT


SATU cara paling ideal bagi seorang Muslim untuk berhubungan dengan Allah ialah mengerjakan ibadat pada waktu tengah malam, ketika suasana sunyi sepi dengan kebanyakan makhluk nyenyak tidur dan penuh kesejukan.
Pada waktu itu seorang Muslim boleh beristighfar, memuji, mensuci dan membesarkan Allah, malah mengerjakan solat sunat tahajud serta solat taubat.
Bagaimanapun, bukan satu perkara mudah untuk bangun dari tidur sedang orang lain lena dibuai mimpi.

Bukan mudah untuk berwuduk dalam kedinginan malam yang mencengkam tulang dan bukan sesuatu yang mudah untuk mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata terkebil-kebil.

Justeru, tidak ramai yang boleh bangun bertahajud, walaupun mengetahui banyak kelebihannya kecuali mereka yang benar-benar tertarik dengan keindahan Allah, berbanding keindahan mimpi di dalam tidurnya.
"Dan dari malam, hendaklah engkau bertajahud (tinggalkan tidur untuk solat) semoga Tuhan-Mu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji." (al-Isra: 79)

Solat tahajud adalah satu peluang keemasan ditawarkan kepada manusia untuk mengeratkan perhubungan mereka dengan Allah.

Kesusahan hanya dirasai mereka yang jarang atau tidak pernah melakukannya, tetapi bagi mereka yang biasa, ia menjadi satu kenikmatan pula. Malah, bagi yang dapat menghayatinya mereka akan berasa kerugian besar jika tertinggal daripada mengerjakan solat berkenaan.

Pada sepertiga malam pintu langit terbuka luas menerima taubat hamba-Nya. Malaikat membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti untuk membakar tubuh manusia di akhirat nanti.


Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Allah s.w.t sayang kepada lelaki yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan akan membangunkan isterinya manakala kalau isterinya enggan, dipercikkan air di wajahnya. Allah s.w.t sayangkan perempuan yang bangun malam kemudian mengerjakan solat dan membangunkan suaminya manakala jika suaminya enggan, dipercikkan air ke wajahnya." (Hadis riwayat Abu Daud)

Amalan solat tahajud bukan hanya diamalkan Nabi Muhammad s.a.w, malah ia diamalkan umat nabi sebelumnya. Ini bererti perintah mengerjakan tahajud bukanlah dikhususkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w semata-mata.

Saidina Umar al-Khattab menyatakan kelebihan solat malam dengan berkata: "Sesiapa mengerjakan solat malam (tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat.

Kurniaan di dunia ialah:

-Jauh daripada segala penyakit dan lahir kesan takwa pada wajahnya.
-Dikasihi sekelian mukmin dan seluruh manusia.
-Percakapannya mengandungi hikmah (kebijaksanaan).
-Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati)

Sementara empat perkara di akhirat ialah:

-Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri.
-Dipermudahkan hisab.
-Cepat melalui sirat al-Mustaqim seperti kilat.
-Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan."

ALLAH HU AKBAR.


Dengan Nama Allah Kami Hidup, Allah itu Al-Haq (Benar)

Al-Mukminun 115-116 -Raja yang sebenar-benar Raja
[115] Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?

[116] Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia.
An-Nisa 105 – Quran itu dari Allah yang Al-Haq (benar)
[105] Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyuNya) dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.
An-Nisa 170 – Rasul bawa kebenaran
[170] Wahai sekalian umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Allah (Muhammad s.a.w) dengan membawa kebenaran dari Tuhan kamu, maka berimanlah kamu (kerana yang demikian itu) amatlah baiknya bagi kamu dan jika kamu kufur ingkar (maka kekufuran kamu itu tidak mendatangkan kerugian apa-apa kepada Allah), kerana sesungguhnya bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan di bumi dan Allah sentiasa Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Al-Mukminun 70 - Majoriti manusia tidak suka pada kebenaran
[70] Atau kerana mereka mengatakan: Dia kena penyakit gila? (Sebenarnya bukan kerana sesuatu pun dari yang tersebut itu) bahkan kerana Rasul mereka datang kepada mereka membawa agama yang tetap benar dan tabiat kebanyakan mereka tidak suka kepada sebarang kebenaran.
Al-Isra 801-81 – Kebenaran pasti melenyapkan kebatilan

[80] Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku, [81] Dan katakanlah: Telah datang kebenaran (Islam) dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.
Allah itu benar.
-Kata-kata Allah itu benar.
-Janji-janji Allah itu benar.
-Pertemuan dengan Allah itu benar
-Syurga itu benar
-Neraka itu benar.
-Para Nabi itu benar
-Nabi Muhammad itu benar
Benar itu berat, bercakap benar, beramal dengan kebenaran itu susah. Benar itu banyak, orang mencari kebenaran itu sedikit. Rasulullah berkata kepada Abu Zar “bercakap benarlah walaupun pahit”.